Friday, March 12, 2010

Amanah itu adalah hutang yang perlu dilangsaikan

Memikirkan amanah, ia sememangnya sesuatu yang sangat berat. Berat untuk dijaga dan dilaksanakan, mahu atau tidak, ia mesti dilaksanakan dengan sehabis baik, yang termampu dan sedaya upaya. Jika tidak, ia akan menjadi seperti hutang yang membebankan, bukan sahaja hutang kepada manusia yang mengamanahkan kita, tetapi juga kepada Allah SWT.. Apatah lagi amanah dengan Allah SWT sebagai khalifah dan hamba kepadaNya. Hanya mereka yang beriman dan bertaqwa sahaja mampu melaksanakan dengan baik. Jadi di manakah letaknya kita sekarang? Cukupkah iman kita hari ini? Takutkah kita kepada Allah?

Sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, amanah perlu dijaga dengan baik. Apa sahaja perkara yang berada dalam lingkungan kita, ia merupakan amanah. Saya masih ingat teguran daripada seorang sahabat sewaktu sekolah dahulu, saya ditegur kerana muka yang penuh dengan jerawat (lawak kn?) Membiarkan wajah dalam keadaan yang teruk tanpa ada usaha untuk merawatnya, hanya membiarkan masa menunggu ia pulih kembali. Kata sahabat saya itu, muka kita adalah amanah yang Allah pinjamkan untuk di jaga, begitu juga dengan anggota lain. Tergelak saya mendengar tegurannya, namun itu hakikat yang perlu kita sedar. Jika asyik memandang ringan perkara-perkara yang kecil, apatah lagi perkara yang besar? Mampukah kita menjaga dan melaksanakan amanah itu dengan baik? dan ingatlah bahawa setiap perkara itu dinilai oleh Allah walaupun sebesar zarah..

Sepanjang menjalani prektikel ini, hati saya pernah terusik dengan gurauan rakan yang juga sedang menjalani prektikel.

"Ala.. kita kn prektikel saja, tak payah la susah2 sangat, buat simple2 ja. Lagipun kita tak di bayar gaji"..

Memikirkan kata-kata tersebut, tidakkah mereka terfikir walaupun tidak di bayar gaji untuk mengajar dan melaksanakan tugasan sebagai seorang guru, tetapi mereka diamanahkan untuk belajar memegang amanah sebagai seorang guru dan pendidik? Dan jika dibayar gaji, itu lebih berat kerana ibu bapa membayar yuran dan mengamanahkan kepada pihak sekolah untuk mengajar anak-anak mereka. Pihak sekolah pula mengatur dan menyusun tugas-tugas kepada sang guru. Jika guru masuk lambat ke kelas dengan sengaja, dapat diibaratkan seperti guru itu mencuri masa dan waktu yang telah di bayar oleh ibu bapa pelajar. Begitu juga dengan pekerjaan lain, lambat masuk ke pejabat, menghabiskan masa yang lama di kafe sewaktu masa bekerja ataupun melaksanakan tugasan peribadi sewaktu di pejabat. Halalkah gaji yang diperolehi itu?

Di sini dapat dilihat amanah itu bukan sahaja secara langsung, tetapi juga tidak langsung. Segala apa yang bersangkutan dalam hidup kita merupakan amanah yang perlu di jaga. Malahan ada juga pepatah arab yang mengatakan bahawa amanah itu lebih banyak daripada masa yang ada. Jika ia tidak disusun dan dilaksanakan dengan baik, ia akan menjadi hutang dan bebanan yang berat kepada manusia.

Dalam surah Al-Hasyr, ayat 21, Allah telah berfirman "Sekiranya kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah...."

Ayat ini menceritakan perumpamaan yang menunjukkan sebuah gunung yang kukuh itu pun akan tunduk dan hancur berderai hanya kerana takut kepada Allah. Takut memikul amanah (Al-Quran) yang di dalamnya terkandung perintah, suruhan dan larangan Allah di muka bumi. Jadi, siapa pula kita ini yang hanya manusia biasa? banyak kelalaian dan kealpaan...
Sama-sama renungkan..